25 April 2011

Perbezaan Mazhab

Soalan: salam..saya dan suami baru mendirikan rumah tangga..suami saya sebelum ini belajar di indonesia..dia belajar agama ikut mazhab maliki mankala saya di malaysia mengikut mazhab syafie... sekarang ini saya dan suami menetap di Malaysia. terdapat 3 soalan di sini;
1. soalan pertama; antara saya dan suami..mazhab mana yang perlu diikuti?adakah saya perlu mengikut suami sedangkan kami berada di Malaysia yang mengikut Mazhab Syafie..
2. soalan kedua; suami saya selalu menyentuh saya selepas beliau megambil wuduk..padanya tidak batal kerana beliau mengikut mazhab maliki..tetapi saya selalu melarang beliau menyentuh saya apabila saya berada dalam wuduk..saya keliru..yang mana perlu saya ikut..
3. soalan ketiga; setiap kali solat subuh suami saya tidak membaca qunut..tetapi saya setiap kali subuh mesti baca qunut kerana ianya sunat yang dituntut..kalau kami solat berjemaah perlukah saya  melakukan sujud sahwi kerana suami saya tidak membaca qunut

Jawapan;

1. Mazhab-mazhab empat (Hanafi, Maliki, Syafiie dan Hanbali) merupakan mazhab-mazhab yang muktamad dalam Ahlus Sunnah wa al-Jamaah. Oleh itu, harus orang Islam melaksanakan kewajipan agamanya dengan beramal dengan mana-mana satu dari mazhab tersebut, tetapi hendaklah melalui pengajian dari guru/ustaz yang faqih tentang mazhab tersebut dan bukan hanya melalui pembacaan dari buku sahaja.

2. Berpegang dengan satu-satu mazhab tertentu tidaklah wajib. Namun bagi orang awam yang tidak mampu memahami sendiri al-Quran dan as-Sunnah, berpegang dengan satu mazhab adalah langkah terbaik baginya untuk mengelak dari kesukaran dalam melaksanakan agama dan risiko pemahaman yang terlalu menyimpang dari kehendak agama (jika ia cuba memahami sendiri nas al-Quran atau as-Sunnah sedang ia tidak ada kemampuan). Berpegang kepada mazhab bukan bermakna meninggalkan al-Quran dan as-Sunnah, tetapi ia masuk dalam pengertian bertanya orang yang mengetahui bagi masalah/persoalan yang kita tidak tahu, iaitu sebagaimana yang diperintahkan Allah; "Maka hendaklah kamu bertanya kepada orang yang mengetahui jika kamu tidak mengetahui" (an-Nahl; 43)

Apabila kita tidak dapat memahami sendiri hukum dari al-Quran dan as-Sunnah kerana tidak mampu, lalu kita bertanya orang yang memahaminya dan kita berpegang/beramal dengan pandangannya, maka itu bermakna kita bermazhab dengan mazhabnya. Sebaik-baiknya ialah kita berpegang dengan mazhab dengan mengetahui dalil-dalilnya. Kerana itu, sebahagian ulamak membahagikan ikutan kepada mazhab ini kepada dua bentuk;
A) Taklid; iaitu mengikut tanpa mengetahui dalil atau tanpa bertanya tentangnya.
B) Ittiba'; iaitu mengikut dengan mengetahui dalil.
Antara dua di atas, sudah tentu yang kedua lebih baik dari yang pertama.

3. Apabila seorang itu beramal dengan mana-mana satu dari mazhab empat yang diakui tadi, amalannya adalah sah. Orang yang berbeza mazhab dengannya tidak harus mempertikainya selama amalannya mengikut mazhab yang diyakininya. Jika ia menjadi imam, harus orang-orang Islam lain menjadi makmum di belakangnya sekalipun berbeza mazhab dengannya. Ini kerana sah atau tidaknya solat kita bukan bergantung kepada mazhab apa yang kita pegang, tetapi bergantung kepapa "adakah solat kita menepati al-Quran dan as-Sunnah atau tidak?". Orang yang tidak dapat memahami sendiri al-Quran dan as-Sunnah, ia dikira mengerjakan solat mengikut al-Quran dan as-Sunnah apabila ia bertaklid atau berittiba' kepada orang yang memahaminya.

4. Dalam masalah berbeza mazhab antara suami dan isteri, tidaklah isteri dituntut mengikuti mazhab suami apabila berkahwin dan begitu juga sebaliknya. Beramal mesti dengan keyakinan, bukan dengan mengambil hati orang lain. Keyakinan orang yang bertaklid dan berittiba' ialah kepada mazhab yang diikutinya. Oleh itu, apabila berlaku perkahwinan antara suami isteri yang tidak sama mazhab, antara suami dan isteri hendaklah saling memahami dan saling bertolak ansur. Dalam masalah batal wudhuk tadi sebagai contoh; apabila suami mengetahui isterinya berpegang dengan mazhab Syafiie, janganlah ia dengan sengaja menyentuh kulit isterinya apabila telah berwudhuk dan sedang bersiap untuk solat. Namun sebagaimana kita sebutkan tadi iaitu berpegang dengan sesuatu mazhab tidaklah wajib, maka tidak menjadi kesalahan jika suami dan isteri mengkaji pandangan yang paling rajih bagi masalah tersebut (dan masalah-masalah lain yang diiktilafkan oleh ulamak) dengan merujuk pandangan dan ulasan ulamak-ulamak semasa, kemudian beramal dengan pandangan yang rajih itu secara bersama suami dan isteri. Di sini tidaklah menjadi larangan kerana persepakatan bukan atas dasar ingin mengambil hati pasangan, tetapi kerana keyakinan bersama.

5. Mengenai qunut subuh, dalam mazhab Syafiie sendiri qunut subuh tidaklah wajib. Oleh itu, jika imam meninggalkan qunut sama ada kerana terlupa atau kerana bermazhab lain, makmum hendaklah mengikut imam (yakni turut tidak membaca qunut) kerana Nabi bersabda; “Sesungguh Imam itu dilantik untuk diikuti" (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Anas r.a.). Kemudian apabila imam memberi salam, makmum disunatkan sujud sahwi bagi menggantikan qunut subuh yang ditinggalkan tadi. Dalam hal ini, makmum tidaklah dikatakan menyalahi imam kerana ikatannya dengan imam telah terputus apabila imam memberi salam.

Dikecuali jika makmum hanya mengambil masa yang singkat sahaja untuk membaca qunut iaitu ia merasakan akan masih sempat sujud bersama imam walaupun dengan membaca qunut, pada ketika itu masih disunatkan makmum membaca qunut secara sendirian apabila imamnya tidak membacanya. Namun jika ia merasakan akan ketinggalan sujud pertama dengan imam jika membaca qunut (yakni hanya akan kembali bersama bila imam duduk antara dua sujud), makruh ia membaca qunut ketika itu (yakni tidak dilarang, cuma tidak digalakkan). Namun jika ia merasakan dengan membaca qunut akan menyebabkan ketinggalan jauh dari imam hingga melepasi sujud pertama dan duduk antara dua sujud (yakni hanya akan kembali bersama imam setelah imam turun untuk sujud kedua), wajib ia meninggalkan qunut, melainkan ia mufaraqah dari imamnya dan meneruskan solat sendirian (haruslah ia membaca qunut).

Walallahu a'lam.

Rujukan;

1. Al-Majmuk, Imam an-Nawawi, Kitab as-Solah, bab Solati al-Jamaah, 4/208.
3. Hasyiah al-Baijuri Ala Ibnu al-Qasim, 1/194.

Bila diharuskan memperkatakan keburukan orang lain?

Soalan; Salam ustaz, Saya khilaf tentang satu perkara. Dewasa ini banyak fitnah kerana perbezaan fahaman politik. Ada kawan saya mengatakan ketua A itu peminum arak dan kafir. Bila saya katakan  tidak mahu mendengar kerana takutkan itu fitnah, beliau mengatakan kepada saya, menurut ustaz beliau politik adalah hak bersama. Semua orang perlu tahu tak kisah lah sama ada ianya betul atau tidak. Tapi bukan kah menyebarkan berita yang buruk tentang seseorang apatah lagi diragui kesahihannya adalah mendatangkan fitnah ? Harap ustaz dapat berikan saya penerangan.

Jawapan;

1. Hukum asal memperkatakan keburukan orang lain adalah haram. Jika keburukan itu benar-benar dilakukannya lalu kita memperkatakannya -tanpa suatu desakan yang diiktiraf oleh Syariat- kita dianggap mengumpat (ghibah). Jika keburukan itu tidak dilakukannya (yakni kita yang mengada-adakannya), kita telah melakukan dosa fitnah dan juga ghibah (umpatan). Sama ada mengumpat (ghibah) atau fitnah, kedua-duanya adalah dosa besar, apatah lagi jika menggabungkan kedua-duanya. Dalam Soheh Muslim, terdapat hadis dari Abu Hurairah yang menceritakan; Nabi pernah bertanya para sahabatnya; "Tahukah kamu apa itu ghibah (umpatan)?". Mereka menjawab; "Allah dan RasulNya lah yang paling tahu". Nabi menjawab; "Ghibah (umpatan) ialah kamu menyebut tentang saudara kamu sesuatu yang ia tidak suka". Lalu seorang bertanya Nabi; "Apa pandangan kamu ya Rasulullah jika apa yang aku sebutkan tentang saudaraku benar-benar ada pada pada dirinya". Jawab Nabi; "Jika ia benar-benar ada pada dirinya, lalu kamu menyebutnya, maka kamu mengumpatinya. Namun jika ia tidak ada padanya, lalu kamu menyebutnya (dengan mereka-rekanya), maka kamu telah mengadakan suatu pembohongan terhadapnya" (HR Imam Muslim, Kitab al-Birr wa as-Silah, bab Tahrim al-Ghibah).

2. Bagi masalah ghibah (iaitu menceritakan/mendedah keburukan orang lain atau menyebut orang lain dengan suatu nama yang buruk) dikecualikan bagi enam situasi berikut mengikut yang dijelaskan oleh para ulamak (antara Imam an-Nawawi dalam kitabnya Syarah Soheh Muslim dan Riyadhus-Salihin);

A) Apabila diri dizalimi; Harus orang yang dizalimi membuat pengaduan kepada pemerintah, qadhi atau pihak berkuasa lainnya dengan menceritakan keburukan atau kezaliman orang yang menzaliminya.

B) Memohon bantuan untuk mengubah suatu kemungkaran dan mengembalikan pelaku maksiat kepada kebenaran. Seperti seorang melaporkan kapada pihak yang berkuasa mengubah kemungkaran; "Si Fulan telah melakukan perbuatan sekian sekian, tegahlah ia".

C) Bertujuan mendapatkan fatwa (pandagan agama); Seperti Hindun yang mengadu kepada Nabi sikap kedekut suaminya. Ia berkata kepada Nabi; "Ya Rasulullah, suamiku Abu Sufyan seorang yang kedekut, bolehkah aku mengambil wangnya tanpa diketahuinya?".

D) Memberi peringatan kepada kaum muslimin agar berjaga-jaga dari suatu kejahatan; Seperti mendedahkan kepalsuan seorang yang pura-pura alim atau pembawa ajaran sesat supaya orang ramai mengetahui hakikat dirinya yang sebenar. Begitu juga, mendedahkan penyelewengan seorang pemimpin dalam mentadbir rakyat kepada orang yang berkuasa melantiknya agar mereka tidak tertipu untuk terus memberi kuasa kepadanya.

E) Seorang yang berterang-terangan melakukan dosa atau kesesatan seperti berterang-terang minum arak, berterang-terang menganut fahaman sesat atau seumpamanya. Orang sebegini harus disebut tentang dirinya dengan maksiat yang dilakukannya secara terang itu. Adapun maksiat yang dilakukannya secara tersembunyi, tidak harus disebut kecuali ada suatu sebab yang lain.

G) Untuk memperkenalkan seseorang; Harus menyebut seseorang dengan suatu gelaran jika ia masyhur dikenali dengan gelaran itu. Haram menyebut suatu gelaran dengan tujuan merendahkan martabat orang lain.

Dalam enam situasi di atas, dibolehkan kita memperkatakan/mendedahkan keburukan orang lain kerana ia mempunyai tujuan yang diharuskan Syariat untuk maslahah yang lebih besar dari maslahah individu yang diperkatakan keburukannya.

3. Oleh kerana hukum mengumpat adalah haram pada hukum asalnya dan dosanya adalah besar, maka orang yang terpaksa menggunakan pengecualian di atas ia hendaklah memerhatikan perkara berikut;

A) Memerhati niat dalam hatinya; apakah ia benar-benar terpaksa memperkatakannya atau hanya lahir dari keinginan nafsunya sahaja. Jika hati benar-benar berkata; "Aku wajib mendedahkannya demi agama dan ummah", maka bertawakkallah kepada Allah dan teruskanlah apa yang diyakini. Namun jika hati berkata; "Ini hanya keinginan nafsu sahaja", batalkanlah niat untuk berkata tentang orang lain itu, kerana padah yang bakal kita terima tidak padan dengan sedikit kepuasan yang kita dapat.

B) Ia hendaklah mengukur natijah darinya; adalah dengan memperkatakannya akan membawa kesan lebih baik atau dengan senyap sahaja dan mencari pendekatan lain yang lebih baik untuk membetulkan orang terbabit.

C) Setiap yang dilakukan kerana darurat (kerana hukum asalnya adalah haram) tidak harus berlebihan, yakni dilakukan sekadar perlu sahaja.

D) Maksiat yang dilakukan berkait dengan orang lain, yakni pendedahan terpaksa dilakukan untuk mengelak orang lain turut terlibat atau terzalimi jika mereka tidak mengetahuinya. Adapun maksiat yang bersifat peribadi tidak harus didedahkan kerana ia adalah dosa antara pelakunya dengan Allah. Sesuatu yang ditutup Allah, tidak berhak kita membukanya kerana nanti keaiban kita pula akan dibuka Allah.

Walalhu a'lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, Kitab al-Birr wa as-Silah, bab Tahrim al-Ghibah.
2. Riyadhus-Salihin, Imam an-Nawawi, Bab Ma Yubahu Min al-Ghibah.

20 April 2011

Ahlan Wa Sahlan ...

Assalamualaikum...

Dengan izin Allah Subhanahu Wa Ta'ala, episod perjuangan hamba di sini adalah bagi melaksanakan suruhan "Sampaikanlah daripadaku olehmu walaupun sepotong ayat". Semoga ianya akan memberi manfaat kepada semua pembaca selama-lamanya. Insya Allah.